Perwakilan Johor Enggan Ambil Bahagian Dalam PAU 2022

JOHOR BAHRU: Susulan pelantikan Menteri Besar Johor yang baru semalam, perwakilan UMNO negeri itu dijangka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula hari ini.

Difahamkan dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin UMNO Johor termasuk ketua-ketua bahagian di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana malam tadi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad telah meminta agar ahli UMNO tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Sebaliknya, beliau (Hasni) berjiwa besar. Beliau juga tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan,” kata sumber kepada Bernama.

Menurut sumber itu lagi, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Difahamkan, perjumpaan di Saujana semalam bermula seawal pukul 9 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi, dengan mereka yang hadir menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni.

Onn Hafiz, 43, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 di Istana Bukit Serene petang ini, mengambil alih jawatan itu daripada Hasni.

Sebelum ini, Hasni telah dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

BBerkaitan

Latest articles