Perumpamaan Malaikat: Zahid Akui Khilaf, Mohon Ampun Pada Allah SWT, Minta Maaf Pada Umat Islam

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon ampun kepada Allah SWT dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan keterlanjuran kata-kata beliau yang mengaitkan perumpamaan mengenai malaikat dalam ucapan baru-baru ini.

Menurut Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, kenyataan itu lahir dalam suasana emosi ketika cuba menggambarkan betapa sukarnya ujian memimpin parti, namun beliau akur perbandingan tersebut telah menimbulkan kekeliruan serta boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai Islam serta tradisi ilmu, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, tular video ucapan Zahid yang antara lain menyebut: “Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi Presiden, malaikat pun lari malam…”

Malah, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menegur Zahid dan berharap kekhilafan tersebut diperbetulkan segera memandangkan ia telah menjadi perhatian umum.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan beliau menerima setiap teguran dengan hati terbuka dan percaya nilai seorang pemimpin bukan sahaja terletak pada tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasan menginsafi kesilapan serta usaha memperbaiki diri.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles