Pertukaran pegawai polis: ‘Saya tak campur tangan, hanya ikut suara majoriti’, kata Hamzah

Keputusan penangguhan pertukaran membabitkan pegawai kanan polis dibuat berdasarkan suara majoriti dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau menolak dakwaan campur tangan dalam pertukaran itu yang membabitkan 71 orang, termasuk ketua polis negeri, berkuatkuasa hari ini.

“Saya minta maaflah kalau ada orang kata saya campur tangan. Betullah saya menteri tetapi saya juga adalah pengerusi SPP,” katanya selepas menghadiri Wacana Meja Bulat bersama badan bukan kerajaan (NGO) Muslim berkaitan kalimah Allah.

“Keputusan (SPP) adalah keputusan majoriti dan saya sentiasa ikut keputusan majoriti.”

Sebelum ini, Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador, mengesahkan penangguhan pertukaran jawatan itu oleh Menteri Dalam Negeri.

Katanya, sebagai KPN, beliau mempunyai kuasa untuk mengawal selia pasukan polis berdasarkan peruntukan undang-undang dan akan mengatur pertemuan bersama Hamzah bagi menjelaskan perkara itu.

Hamzah hari ini enggan mengulas lanjut mengenai kesediaan beliau bertemu Hamid, namun menyatakan walaupun KPN dan ahli-ahli SPP dilantik Yang di-Pertuan Agong, kedudukan SPP lebih tinggi.

“Ya, Ketua Polis Negara watikah (lantikan jawatan) Agong, tetapi kedudukan suruhanjaya lebih tinggi kerana keputusan dibuat dalam majlis SPP berbanding seorang individu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles