Pertuduhan Dua Warga Bangladesh Miliki Bahan Berkaitan Pengganas Ditangguh, Tiada Jurubahasa

JOHOR BAHRU: Pertuduhan terhadap dua warga Bangladesh yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) terpaksa ditangguhkan hari ini apabila Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa tiada jurubahasa Bangladesh yang hadir untuk membantu prosiding.

Tertuduh, Mohammad Afsar Bhuiyan, 30, dan Md Rafiqul Islam, 35, yang tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris, dijadualkan menghadapi pertuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi bahan berkaitan IS, namun pertuduhan tidak dapat dibacakan tanpa kehadiran jurubahasa.

Kedua-dua mereka ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Jun lalu dalam satu operasi keselamatan khas berkaitan penyebaran ideologi pengganas dalam kalangan komuniti migran.

Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, memaklumkan bahawa pertuduhan tidak dapat diteruskan berikutan ketiadaan jurubahasa.

“Tiada jurubahasa Bangladesh hadir hari ini. Kami mohon tarikh baharu bagi pembacaan pertuduhan,” katanya sambil memaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 September 2025 untuk sebutan semula kes.

Mohammad Afsar berdepan dua pertuduhan manakala Md Rafiqul menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, serta pelucuthakan bahan terbabit.

Kedua-dua lelaki itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 8.30 pagi dalam kawalan ketat pasukan polis bersenjata dan mengenakan cermin mata gelap.

Pendedahan mengenai penahanan mereka turut berkait rapat dengan operasi besar-besaran membanteras kegiatan sebuah kumpulan ekstremis yang dikenali sebagai GMRB, seperti yang diumumkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada awal Julai lalu.

Menurut beliau, kumpulan itu dikesan aktif menyebarkan fahaman pengganas IS kepada warga Bangladesh yang bekerja secara sah di Malaysia, terutamanya melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan segera.

“Hasil siasatan mendapati beberapa akaun Facebook yang menyebarkan propaganda IS berpangkalan di Malaysia dan dikendalikan oleh warga asing,” kata Razarudin.

Sejak April, 36 individu telah ditahan dalam tiga fasa operasi di Johor dan Selangor, termasuk ketua kumpulan GMRB.

Daripada jumlah itu, lima individu telah didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan pengganas.

BBerkaitan

Latest articles