More

    Pertikai Usul Tambahan Kerana Bersabit Soal Perundangan, Perlu Rujuk RoS

    KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kenyataannya bahawa usul dua jawatan utama UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, perlu dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

    Ini kerana ia bersabit dengan sudut perundangan dan perlembagaan parti, tambah Naib Presiden UMNO itu lagi.

    “Saya bercakap soal perundangan. Ada dua pandangan mengenai keabsahan keputusan itu, ada yang menyatakan ia sah dan sebaliknya.

    “Kedua-dua pandangan itu ada alasan yang kukuh, jadi jika timbul pertikaian, maka mana-mana ahli boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan,” katanya memetik BH.

    Terdahulu Ismail Sabri mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang mempertikaikan kenyataan beliau berhubung isu berkenaan.

    Nur Jazlan menyatakan, tindakan Ismail Sabri itu pelik kerana ketika proses pengundian usul berkenaan dibuat, Ismail Sabri turut berdiri menyokong dua jawatan utama berkenaan tidak dipertanding.

    Tambahnya, walaupun majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) sudah membuat keputusan supaya dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan, masih ada suara sumbang yang tidak berpuas hati, ibarat rumah siap, pahat berbunyi.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, ramai yang tidak faham dengan kenyataan beliau, termasuk Nur Jazlan.

    Katanya, beliau membangkitkan isu berkenaan kerana ia membabitkan isu perundangan berhubung dua pandangan.

    “Seperti dinyatakan, setiap ahli berhak mengambil tindakan, termasuk merujuk kes itu kepada ROS,” katanya.

    Ditanya mengenai dakwaan Nur Jazlan yang beliau sendiri bangun menyokong usul itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak mahu berdebat mengenai isu berdiri atau duduk.

    “Ya, saya ada berdiri ketika laungan ‘Allahu Akbar’. Ada gambar yang menceritakan segala-galanya,” katanya.

    Sebelum ini, Ismail dilaporkan berkata, keputusan PAU 2022 meluluskan usul itu sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

    Beliau berkata, ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini