MELAKA: Pertengkaran dua beradik warga Bangladesh di sebuah rumah sewa di Taman Cempaka 2, Durian Tunggal, bertukar tragedi apabila seorang lelaki dipercayai ditetak adiknya sebelum suspek ditemukan tergantung di dalam bilik tidur, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu disedari rakan serumah mereka yang baru pulang, sebelum menemui mayat si abang dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur, manakala adiknya tergantung di dalam bilik.
Jiran, Muhammad Zuhaili Mohd Zin, 31, berkata dia dan keluarganya terdengar suara pertengkaran dari rumah berkenaan sekitar jam 5.50 petang, namun tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi ngeri.
“Rakan serumah mereka yang jumpa kedua-dua mayat. Si abang cedera parah dengan kesan tetakan, manakala adik pula tergantung,” katanya ketika ditemui media.
Menurutnya, kedua-dua mangsa bekerja di tapak bina berhampiran dan tinggal bersama seorang rakan lain.
Mereka sebelum ini mendakwa sebagai adik-beradik.
“Si adik berkahwin dengan wanita warga Indonesia dan ada seorang anak. Difahamkan isterinya melarikan diri bersama anak sejak dua minggu lalu,” ujarnya.
Zuhaili berkata, si adik sering bertengkar dengan isterinya kerana tidak membenarkan wanita itu bekerja.
“Mungkin tekanan rumah tangga dan masalah dengan abangnya menyebabkan dia bertindak di luar kawalan, walaupun sebelum ini dia dikenali sebagai seorang yang baik,” tambahnya.
Pasukan forensik polis tiba di lokasi dan membawa keluar kedua-dua mayat pada jam 10.45 malam bagi tujuan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan kejadian dan memaklumkan butiran lanjut akan didedahkan dalam sidang media jam 11 pagi ini.
Polis kini menyiasat motif pertengkaran dan punca sebenar kejadian tragis tersebut.