KUALA LUMPUR: Pertemuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 2014 tidak boleh dianggap sebagai usaha campur tangan asing dalam politik Malaysia, sebaliknya sebahagian daripada amalan diplomatik biasa.
Bekas Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pertemuan antara diplomat asing dengan pemimpin pembangkang merupakan perkara lazim bagi mendapatkan gambaran mengenai perkembangan politik dan landskap sesebuah negara.
Menurutnya, perbualan antara wakil kedutaan dan pemimpin politik tidak semestinya membawa maksud wujud usaha mempengaruhi atau menjatuhkan kerajaan.
“Walaupun ia melibatkan kedutaan AS dan dutanya, itu sekadar perbualan, bukannya campur tangan,” katanya memetik FMT.
Nazri yang menjadi duta Malaysia ke AS dari Februari 2023 hingga Februari 2025 berkata, dalam konteks diplomasi, pertemuan dengan pemimpin pembangkang bukan sesuatu yang luar biasa.
Katanya, diplomat serta pertubuhan masyarakat sivil dari luar negara sering berinteraksi dengan pelbagai kelompok politik bagi memahami keadaan semasa negara berkenaan.
Beliau bagaimanapun membezakan hubungan diplomatik sedemikian dengan tindakan yang benar-benar menjurus kepada campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara.
Menurut Nazri, jika terdapat usaha mempengaruhi perubahan politik atau mencampuri urusan domestik, ia lebih berkemungkinan dikaitkan dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) asing berbanding kedutaan.
Beliau turut memberi contoh kemungkinan terdapat NGO asing yang ketika itu melihat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin autoritarian, lalu memilih untuk berhubung dengan tokoh pembangkang bagi membincangkan isu demokrasi, reformasi dan perubahan politik.
Kenyataan Nazri itu hadir selepas Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwaan bahawa pihaknya pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia pada 2014.
Dakwaan berkenaan dibangkitkan Hadi ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar PAS Ke-72 di Kelantan, Sabtu lalu.
Perkara itu kini turut mendapat perhatian pihak berkuasa apabila tiga laporan polis dibuat terhadap Presiden PAS berhubung dakwaan berkenaan.
Setiausaha Politik Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman pada semalam memaklumkan bahawa Bukit Aman sudah menghubungi Hadi bagi mendapatkan kerjasama beliau berhubung siasatan.
“Tok Guru (Hadi) telah dimaklumkan dan bersedia beri kerjasama penuh kepada pihak polis. Tarikh dan masa (untuk urusan ini) akan ditentukan kemudian,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan mengambil pendekatan tidak mengulas dakwaan berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata perkara itu diserahkan kepada orang ramai untuk membuat penilaian masing-masing.










