KUALA LUMPUR: Belum ada pertemuan diaturkan antara PAS dan UMNO berhubung kedudukan 27 kerusi Parlimen yang disifatkan sebagai kritikal sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, sambil menambah bahawa UMNO perlu menilai kesan terhadap pilihan raya akan datang sekiranya parti itu mahu bertanding secara solo di kerusi-kerusi tersebut.
“Kalau bincang tidak rasmi adalah. Belum ada lagi pertemuan rasmi saya mengingatkan begitulah kalau nak lawan solo, tunggu keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya ulang sekali lagi. Kalau buat juga tunggu keputusan. Nantilah (bincang rasmi) jumpa dua-dua pihak minum teh ke apa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menerusi Perikatan Nasional (PN) sedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal pada PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, isu berkenaan belum dibincangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).