Pertanian, Pelancongan Antara Tumpuan Abdul Rahman #sambungyangtergendala Di Kota Belud

KOTA BELUD: Empat perkara menjadi tumpuan calon Barisan Nasional (BN) Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan jika beliau kembali menang di kerusi itu.

Apatah lagi usahanya untuk menyambung bakti dan khidmat selepas dua penggal menjadi Ahli Parlimen di sana, terhenti apabila Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan menjadi pilihan pengundi apabila tsunami politik melanda pada tahun 2018 yang lalu.

Melihat kepada potensi Kota Belud dalam sektor pertanian sehingga digelar sebagai jelapang padi, Abdul Rahman mahu hak golongan petani dibela secara adil dan saksama.

“Kota Belud digelar sebagai jelapang padi atas dasar keselamatan makanan negara. Kita diminta untuk mengeluarkan beras, terutama untuk penggunaan rakyat Sabah, supaya kita tidak bergantung dengan pembelian dari luar negara.

“Namun petani-petani di sini masih miskin, mereka menghasilkan beras untuk orang lain makan namun hakikaynya mereka sendiri susah naj makan.

“Agenda saya adalah hal ini perlu dilihat senula dengan membuat agihan yang adil. Kita tidak mahu petani menderita, tetapi orang tengah, pengilang, pengisar, pemborong dan pembeli yang hanya mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Tamu Kota Belud, hari ini.

Membawa misi #sambungyangtergendala, Abdul Rahman juga mahu memajukan industri pelancongan di Kota Belud.

Memandangkan pantai dan pulau di Sabah sering mendapat tumpuan pelancong dalam dan luar negara, terutama Pulau Mantanani yang sering menjadi sebutan kerana kecantikan, keindahan dan faktor keselamatannya.

“Jadi kita hendak bina jeti besar di Pulau Mantanani dan jeti besar di tanah besar di Kota Belud, dengan setiap pengunjung akan dikenakan caj RM10, terutama pengunjung luar negara.

“Kutipan dengan anggaran RM3.6 juta setahun boleh digunakan untuk membayar bil-bil lampu elektrik di bawah bidang kuas Majlis Daerah, dapat juga menyelesaikan masalah perparitan, longkang tersumbat dan banyak lagi,” katanya.

Dalam menambah baik kehidupan masyarakat setempat dengan peluang pendidikan dan ekonomi, Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan permohonan mewujudkan sebuah Politeknik di Kota Belud.

“Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membuka Politeknik di Kota Belud. Ini kerana belum ada sebarang Institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Pantai Barat Sabah, jadi ramai anak-anak muda kita terpaksa ke Kota Kinabalu atau Semenanjung untuk melanjutkan pelajaran.

“Dengan adanya Politeknik ini, kita percaya Kota Belud akan menjadi pemangkin pembangunan di sini, ada bandar baru, kawasan perumahan dan perniagaan, ” ujarnya lagi.

Malah, Abdul Rahman juga mahu Kota Belud meneroka peluang industri minyak dan gas memandangkan ia mempunyai pelabuhan yang dalam untik dijadikan hub.

Sehubungan itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mengharapkan pengundi Kota Belud tidak lagi tersalah memilih pemimpin agar perancangan pembangunan di sana dapat dilaksanakan.

BBerkaitan

Latest articles