KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil memaklumkan terdapat satu usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Isham berkata, Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada hari ketiga semalam menyaksikan usul yang dibawa oleh Perwakilan Negeri Sembilan tersebut merupakan usul tambahan berbanding hanya tujuh usul yang dipersetujui sebelum ini.
“Kita tidak pinda perlembagaan supaya jawatan ini tidak dipertandingkan tetapi pada masa sama kita tidak halang mana-mana perwakilan yang mahu bawa usul.
“Tadi ada usul yang dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilan dan telah disokong oleh perwakilan dari Terengganu, Selangor, Wanita dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media semalam.
Isham berkata, masih ada perwakilan yang akan berbahas hari ini dan mereka terbuka untuk membawa apa-apa usul.
Jelasnya, sama ada usul tersebut diterima atau sebaliknya akan diputuskan oleh perwakilan hari ini.
“Kalau esok selepas semua wakil-wakil daripada negeri telah mencapai persetujuan. Maka itulah persetujuannya.
“Biar perwakilan bahas dulu. Kita ada banyak lagi negeri-negeri untuk kita dengar esok.
“Itu bukan satu-satunya usul ada usul lain yang dibawa,” kata Isham semalam.
Sementara itu, Isham turut menjelaskan tindakan UMNO menyekat media daripada mendengar perbahasan perwakilan secara langsung agar perwakilan boleh berbahas secara bebas dan tanpa sekatan.
Bagaimanapun sekatan perbahasan secara tertutup itu hanya berlangsung pada perhimpunan kali ini.
“Kalau kita buat secara terbuka, nanti kita sekat-sekat perwakilan bincang secara terus- terang.
“Dalam dewan tadi, ada perwakilan kata mahu berbincang secara telus. Kalau perbahas ini dibuka dan terus kepada umum maka bukan sahaja media tahu parti-parti politik lain juga tahu juga,” katanya.