Pertandingan 3 Penjuru Musnahkan Kemenangan PAS-UMNO-BERSATU

PAS menegaskan pertembungan tiga penjuru antara partinya, UMNO dan BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya beri keuntungan kepada musuh.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berharap ketiga-tiga parti yang bekerjasama di dalam Perikatan Nasional (PN) tidak membuka peluang kemenangan kepada pembangkang kerana ia akan merugikan ummah dan dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Kita mesti belajar daripada PRU lepas, walaupun masuk bertanding banyak tetapi kemenangan hanya sedikit kerana berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Tiada parti akan mendapat keuntungan, PAS, UMNO dan Bersatu semua akan rugi jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Susah untuk kita mencapai kemenangan, sedangkan kita mempunyai peluang besar jika bersatu,” katanya.

Hashim berkata, meskipun PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) berpotensi untuk menang dalam pilihan raya akan datang, namun beliau percaya kekuatan makin bertambah dengan kehadiran BERSATU.

“Kita mahukan kemenangan majoriti sehingga kita boleh mengubah perlembagaan ke arah memperkasakan perundangan Islam.

“Sebab itu PAS beria-ia menyatukan ketiga-tiga parti tersebut walaupun pada peringkat permulaan hanya dengan UMNO tetapi ke arah untuk mencapai matlamat itu perlu ajak bersama BERSATU,” katanya.

Sehubungan itu PAS berharap hubungan antara UMNO dan BERSATU dapat diperbaiki kerana masing-masing mempunyai musuh yang sama iaitu Pakatan Harapan (PH).

Hashim memaklumkan bahawa pendirian PAS masih sama iaitu memperkukuhkan kerjasama dengan UMNO melalui MN dan memperkasa hubungan dengan BERSATU melalui PN.

“Kita tidak akan berhenti mengajak UMNO dan BERSATU untuk bersama, malah usaha ini tidak akan berakhir dan berterusan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles