​KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh rakyat Malaysia agar terus mempertahankan kesatuan negara dan menolak sebarang bentuk pandangan sempit berasaskan kaum mahupun agama yang boleh merobek kekuatan bangsa.
​Beliau berkata, kejayaan Malaysia mengekalkan kemerdekaan dan keharmonian sejak pembentukannya pada tahun 1963 telah membuktikan bahawa telahan negatif pemerhati luar terhadap keutuhan negara ini adalah meleset sama sekali.
​Menurut beliau, sejarah di sesetengah negara lain menyaksikan kesatuan mudah terlerai dan berpecah, namun Malaysia terus bangkit sebagai sebuah kesatuan yang hebat dan dipandang tinggi di peringkat rantau ASEAN serta antarabangsa.
​”Kejayaan ini adalah hasil wawasan pemimpin terdahulu dan kepintaran rakan-rakan yang berfikir jauh serta tidak diheret oleh pandangan sempit suku kaum, kebangsaan sempit atau agama secara fanatik. Jika kita tidak melihat kerangka besar negara, ia boleh meleburkan kita.
​”Apabila kita bicara soal masa depan negara, kita bicara sebagai satu kesatuan. Kita mahu memajukan setiap rakyat dan warga di negara kita, dan dengan cara begitu sahaja kita boleh mempertahankan negara ini,” katanya.
​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2026 di sini, malam tadi.
​Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
​Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa demokrasi memberi ruang untuk rakyat menyuarakan isu berkaitan suku kaum, agama dan budaya, namun ruang bicara tersebut mestilah bertujuan untuk membina dan bukannya meruntuhkan negara.
​Jelas beliau, usaha membina sebuah negara bangsa memerlukan perit jerih perjuangan, kesabaran dan kebijaksanaan selama puluhan tahun, manakala tindakan merobek perpaduan boleh berlaku dalam kelipan mata.
​”Pencerahan ini harus sampai ke lubuk hati sanubari setiap rakyat. Jangan izinkan seruan-seruan yang merobekkan. Sama ada dari corong-corong Sarawak, Sabah atau Semenanjung, suara-suara ke arah pemencilan dan kesempitan puak tidak boleh diizinkan mengatasi kepentingan kebangsaan Malaysia.
​”Penubuhan negara ini bertunjangkan satu ‘Waad Nasional’ iaitu ikrar, janji dan sumpah untuk mengekalkan negara dengan syarat ia mesti inklusif, menegakkan keadilan serta menjamin kesejahteraan bagi seluruh rakyat,” ujar beliau.










