Persoal Kuasa Peguam Negara, Azalina Bidas PN

KUALA LUMPUR: Pembangkang dipersoal mengapa tidak menggunakan kuasa sepenuhnya ketika menjadi kerajaan sebelum ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dengan kuasa pendakwaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga menegaskan keadaan ini amat berbeza dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited untuk memisahkan Peguam Negara dengan kuasa pendakwaan.

“Kenapa tak pisah bila Yang Berhormat jadi kerajaan? Bila belah sana kena, kata pendakwaan terpilih. Bila belah sini kena, kata padan muka. Apa hal?

“Dalam isu ini, kami cakap, kami buat tapi Yang Berhormat di sana, bukan saja tak buat, cakap pun tak. Berkuasa empat tahun, saya duduk situ, saya tegur.

“Jangan nak kata pendakwaan terpilih kerana Kerajaan Madani ini komited terhadap tata kelola yang lebih adil. Sebab itu ‘hashtag’ kami, walk the talk tapi belah sana, ‘hashtagnya’, they don’t walk and they don’t talk,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan peringkat kementerian mengenai laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12), hari ini.

Tambah Azalina, kerajaan pada ketika ini juga bersetuju dari segi prinsip untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dengan kuasa pendakwaan.

“Kerajaan Madani hari ini komited untuk memisahkan Peguam Negara daripada kuasa pendakwaan dan kita telah setuju dari segi prinsip, itu satu.

“Keduanya, Jawatankuasa Hak Asasi akan bersama dalam kajian empirikal. Ketiga, saya nak cakap satu saja, kenapa masa Yang Berhormat (dari Perikatan Nasional) jadi kerajaan, tak nak pisahkan Peguam Negara dan kuasa pendakwaan,” katanya lagi.

Anwar sebelum ini berkata, syor pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sudah dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Satu kertas kerja sudah dibentangkan di Kabinet beberapa bulan lalu, sebagai proses bagi memperoleh sokongan syor berkenaan, kata Anwar.

Untuk itu, beliau berkata prosesnya memerlukan masa panjang selain menelan kos yang tinggi.

BBerkaitan

Latest articles