KUALA LUMPUR: Tiga penyampai Era FM; Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Affendy, hadir ke Kuil Batu Caves untuk memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka yang mempersendakan ritual kavadi semasa perayaan Thaipusam.
Ketiga-tiga mereka melahirkan harapan agar perjumpaan bersama Presiden Majlis Kuil Hindu Malaysia dan Persatuan Hindu Malaysia, Datuk Sivakumar Nadarajah pada semalam dapat meredakan ketegangan.
“Dari pihak kami, Datuk, kami benar-benar… kami minta maaf.”
“Saya harap video ini boleh buat semua orang lebih tenang,” demikian memetik perbualan perjumpaan itu.
Sivakumar, yang juga Bendahari Agung MIC, menyatakan bahawa walaupun tindakan mereka boleh dimaafkan dari segi kemanusiaan, tindakan perlu diambil untuk memberikan mesej yang tegas terhadap perkara tersebut.
“Saya harap ada tindakan yang akan memberi mesej yang jelas,” katanya, sambil menambah bahawa isu ini telah mendapat perhatian umum dan pihak berkuasa turut terlibat dalam siasatan.
Tindakan mereka yang mempersendakan ritual kavadi tular di media sosial baru-baru ini mengundang kontroversi sehingga ketiga-tiga penyampai serta dua kakitangan Era FM yang terlibat telah digantung tugas sementara menunggu siasatan lanjut.
Pihak polis kini sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (berhubung dengan kata-kata atau perbuatan yang boleh menyinggung perasaan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyalahgunaan kemudahan rangkaian).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap kejadian ini.