Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya Buka Ruang Untuk DAP Berkuasa – Bersatu

KUALA LUMPUR: Bersatu mendakwa DAP akan mengaut kuasa yang besar tidak lama lagi apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya keadaan itu berlaku maka ini akan melemahkan kaum Melayu sehingga di satu keadaan kaum berkenaan akan terus hilang kuasa di negara ini.

Apatah lagi Muhyiddin mendakwa ahli-ahli Parlimen DAP dengan lantang memperkatakan di Dewan Rakyat baru- baru ini tentang perlunya proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan, terutamanya untuk menambah kerusi-kerusi Parlimen di kawasan bandar.

Ini ditambah dengan respon Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengesahkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya telah dimulakan bagi negeri Sarawak pada tahun ini, Sabah pada tahun 2025 dan Semenanjung Malaysia pada tahun 2026.

Katanya, Daripada 40 kerusi yang dimiliki oleh DAP sekarang mungkin akan bertambah menjadi 80 kerusi tidak termasuk “gerrymandering” yang akan dibuat di kawasan-kawasan Parlimen sedia ada untuk memberi kelebihan kepadaparti DAP dan rakan-rakan sekutunya di dalam PH.

“Jika ini berlaku, DAP akan menjadi sebuah parti yang amat berkuasa di dalam kerajaan. Saya percaya, pada masa itulah cita-cita utama DAP yang memperjuangkan kesamarataan hak dan penghapusan dasar-dasar pro-Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Setapak 1967 dan Perlembagaan DAP akan dilaksanakan.

“Adakah kita sanggup biarkan perkara ini berlaku saudara- saudara?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku?” soal Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam.

Justeru, Muhyiddin berpandangan bahawa perlunya usaha digerakkan untuk menyatu padu parti-parti Melayu.

“Janganlah sengketa sesama kita menyebabkan bumi yang kita pijak ini menjadi milik orang. Masa tidak menyebelahi kita lagi kerana kuasa pun sudah tiada di tangan kita.

“Usaha juga mesti dilakukan segera untuk Perikatan Nasional kembali ke Putrajaya sebelum nasi menjadi bubur. Hanya dengan cara inilah, cita-cita songsang mereka itu boleh kita halang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles