KUALA LUMPUR: Perselisihan faham antara dua warga emas berakhir dengan tragedi berdarah apabila seorang daripada mereka yang berusia 63 tahun maut ditikam dalam kejadian di sebuah pondok di Cherok Tokun, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu pergaduhan di lokasi tersebut kira-kira jam 3.22 petang, sebelum anggota polis bergegas ke tempat kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang duduk berbual bersama lima rakan lain, termasuk suspek, sebelum insiden ngeri berlaku.
“Suspek, seorang lelaki berusia 70 tahun, secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan memukul mangsa dengan sebatang kayu sehingga mangsa rebah ke lantai.
“Tidak cukup dengan itu, suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan menikam mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Helmi berkata, hasil risikan, polis berjaya menahan lima individu termasuk suspek utama bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati insiden ini berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sejak tiga hari lalu yang akhirnya membawa kepada kejadian semalam.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tambahnya.