Persatuan Ternak juga bimbang jika ayam terlalu mahal

KUALA LUMPUR – Isu harga ayam yang banyak dibincang dan diperkatakan oleh orang ramai dengan pelbagai versi yang menakutkan memberi implikasi yang tidak sihat kepada industri ini.

Sedangkan, para penternak ayam juga terkesan dengan isu kenaikan kos yang membebankan hingga menyebabkan banyak operasi ladang ternakan terjejas.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Datuk Jeffrey Ng kesal kerana terlalu banyak spekulasi tentang harga ayam selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan penamatan Penentuan Harga Maksimum Ayam baru-baru ini.

“Terlalu banyak spekulasi…ada yang kata harga ayam akan dipasarkan sehingga RM15 sekilogram. Ini semua mengarut.

“Sedangkan kami juga bimbang jika harga ayam terlalu tinggi, pengguna akan berhati-hati dalam berbelanja yang akhirnya kami juga yang rugi,” katanya lapor MalaysiaGazette.

Jeffery berkata, penternakan ayam adalah industri matang di negara ini dan sepatutnya rakyat tidak perlu rasa sangsi kepada penternak-penternak ayam domestik.

Selama ini, industri ayam sentiasa mematuhi dan akur peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tanpa syarat, jelasnya.

“Kami adalah peniaga berisiko, kalau jual mahal orang tak beli. Tapi kalau semua (kos) naik tapi jual pada harga sama, kami pula yang rugi,” ujarnya.

Malah, dalam pertemuan dan perbincangan dengan KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) baru-baru ini, katanya, FLFAM tidak membuat banyak tuntutan kecuali memohon kerajaan memahami keperitan dan bebanan yang perlu ditanggung oleh penternak disebabkan kenaikan kos.

Kos yang ditanggung bukan sekadar kenaikan harga dedak tetapi juga kos buruh susulan kenaikan gaji maksimum.

“Sebagai timbal balas, FLFAM pula berjanji penternak-penternak yang telah tutup atau memperlahan aktiviti di ladang akibat tidak mampu tanggung rugi akan kembali semula seperti biasa supaya bekalan (ayam) dalam negara tidak terjejas,” ujarnya.

Pada masa sama, Jeffery meminta para peniaga lebih bertanggungjawab dengan tidak mengaut keuntungan kerana tindakan itu memberi kesan kepada rantaian industri.

Berita Berkaitan

Komen

Terkini