KUALA LUMPUR: Bekas pelakon dan model, Persana Avril Sollunda, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran gambar sijil perkahwinan palsu yang mengaitkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) menerusi akaun TikTok miliknya.
Persana membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail, dan memohon untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, Persana didakwa secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar palsu menerusi satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok ‘king.charles.ratu’ pada 25 Februari lalu.
Video berkenaan memaparkan sijil pernikahan palsu yang mendakwa kononnya berlaku perkahwinan antara TMJ dan seorang wanita bergelar ‘Crown Princess Ratu Shana’.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman, mencadangkan agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Namun, Hakim Norma membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Persana, yang hadir tanpa diwakili peguam, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan kehadiran pegawai dan pengiring dari Sabah bagi menguruskan proses jaminan.
Mahkamah menetapkan tarikh 17 Julai 2025 sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam bagi tertuduh.
Persana Avril pernah dikenali sebagai finalis program Dewi Remaja suatu ketika dahulu dan sebelum ini juga pernah mencuri perhatian media atas beberapa kontroversi.