Permohonan pengampunan termasuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah mana-mana banduan termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak, perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan, berkata permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran ditetapkan, di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
“Kamar ini telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.
“Oleh itu sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Najib menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, pemohon berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Menurut Jabatan Peguam Negara, berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.
Jabatan Peguam Negara berkata, Perkara 42 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman telah dijatuhkan mahkamah.
“Dalam hal ini keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya.