KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi esok akan mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, berhubung isu titah adendum.
Permohonan itu dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Alice Loke Yee Chin.
Sekiranya dibenarkan, Ahmad Terrirudin perlu hadir ke mahkamah untuk memberikan penjelasan mengapa beliau tidak wajar dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Namun, jika permohonan ditolak, prosiding tersebut tidak akan diteruskan.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa Ahmad Terrirudin mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan titah adendum tetapi didakwa telah mengelirukan mahkamah dalam isu berkenaan.
Atas dasar itu, Najib memohon agar prosiding menghina mahkamah dibenarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihaknya turut memohon agar semakan kehakiman didengar pada 19 September ini.
“Pada tarikh itu, mahkamah juga akan menentukan beberapa perkara termasuk sama ada perintah larangan bersuara (gag order) perlu dikekalkan,” katanya kepada media selepas sesi pengurusan kes di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.