KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin untuk mendapatkan semula pasport beliau yang ditahan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Terdahulu pasport milik Presiden Bersatu itu ditahan selepas beliau didakwa dengan pertuduhan wang haram.
Muhyiddin sebelum ini mengemukakan beberapa alasan untuk mendapatkan semula pasportnya, termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarga ke United Kingdom (UK) yang merupakan suatu kebiasaan di mana beliau akan membawa keluarganya untuk bercuti selama sebulan setiap tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi mendengar bantahan pendakwaan yang mahu masa lebih untuk memfailkan afidavit jawapan bagi permohonan itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Asma Ahmad berkata, notis permohonan hanya disampaikan kepada pihaknya pada 17 Oktober dan pihaknya membantah permohonan tersebut.
“Kami perlukan masa dua minggu bagi memfailkan afidavit ini,” katanya hari ini.
Sementara itu Peguam yang mewakili Muhyiddin, Datuk K Kumaraendran telah memohon tarikh baharu bagi menbalas afidavit berkenaan kelak.
Azura kemudian menetapkan 21 November depan bagi kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis serentak.
Sepatutnya hari ini mahkamah mendengar permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya kembali bagi membolehkan beliau bercuti bersama keluarganya ke luar negara hujung tahun ini.
Muhyiddin sedang berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM200 juta.