Permohonan maaf tidak selesaikan isu kesalahan hina Raja

KUALA LUMPUR – Permohonan maaf tidak akan menyelesaikan sebarang kesalahan melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan permohonan maaf bukan satu bentuk pembelaan di sisi undang-undang.

“Sesiapa sahaja yang membangkitkan isu-isu yang membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi raja-raja harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Dan tidak akan selesai atas alasan memohon maaf kerana permohanan kemaafan bukan satu pembelaan dari segi undang- undang dalam perundangan jenayah,” kata Azalina dalam  satu hantaran di laman facebooknya.

Azlina yang mengulas tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah politik didakwa mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan pemilihan menteri besar negeri itu.

Tegas Azalina, walaupun kebebasan bersuara merupakan hak perlembagaan setiap warga Malaysia di bawah Perkara 10(1)(a) PP namun ia tertakluk kepada Perkara 10(2) PP bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.

“Sebagai orang politik atau mana-mana orang yang dikurniakan kuasa, harus sedar bahawa pertuturan kita ada kuasa untuk mempengaruhi orang ramai, terutama sekali dalam musim pilihanraya,” katanya.

Justeru beliau meminta supaya Polis Diraja Malaysia diberi kebebasan untuk membuat siasatan terhadap sesiapa yang membangkitkan isu kaum, agama dan raja atau 3R tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Media hari ini melaporkan, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besar.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), berkata beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah.

Beliau mendakwa ucapannya diputar belit Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor termasuk Lima ahli Dewan Diraja Selangor yang turut membuat laporan polis terhadap Sanusi semalam.

BBerkaitan

Latest articles