Permohonan Hishammuddin Diterima, Rayuan KJ Tak Ambil Masa Lama

KUALA LUMPUR: UMNO dilaporkan menerima beberapa lagi surat permohonan daripada bekas ahlinya yang mahu kembali menyertai parti itu, termasuk daripada bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyifatkan perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang menyentuh perasaan, lebih-lebih lagi ketika umat Islam berada di penghujung Ramadan.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Sembrong itu merupakan antara tokoh yang telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama parti selain bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

“Aspek ini cukup mengharukan dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan. Selain Khairy, terdapat juga ramai pemimpin yang pernah berjasa kepada parti turut menghantar permohonan untuk kembali memperkukuhkan wadah perjuangan Rumah Bangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut berharap agar usaha menghimpunkan semula bekas ahli tersebut mendapat keberkatan dan mampu memperkukuh perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda Islam, Melayu serta kepentingan negara.

Sebelum ini, Hishammuddin menyatakan kesediaannya untuk kembali bersama UMNO sekiranya tindakan penggantungan keahliannya ditarik balik.

Pada tahun 2023, beliau digantung keahlian selama enam tahun oleh parti berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan bahawa pihaknya turut menerima surat rayuan daripada Khairy bagi menyertai semula parti itu.

Khairy, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan, dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023 selepas didapati melanggar disiplin parti susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata proses menilai rayuan Khairy dijangka berjalan lancar dan tidak mengambil masa lama.

Menurut beliau, permohonan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi parti, dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilantik sebagai pengerusi teknikal untuk menilai proses berkenaan.

Zambry berkata pertemuan antara Zahid dan Khairy baru-baru ini memberi isyarat positif terhadap kemungkinan bekas pemimpin itu kembali ke pangkuan parti.

“Saya melihat pertemuan semalam berlangsung dalam suasana harmoni dan memberi petunjuk yang baik. Proses ini juga dijangka berjalan pantas kerana ia selaras dengan idea presiden untuk membentuk ‘Rumah Bangsa’ bagi membawa kembali bekas ahli UMNO,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles