Permohonan Batal Keputusan Terhadap Bung, Zizie Sudah Difailkan

KUALA LUMPUR: Pasukan pendakwaan telah memfailkan rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Samad pada minggu lalu.

Terdahulu, mahkamah membebaskan pasangan itu daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Difahamkan pendakwaan telah memfailkan notis rayuan minggu lepas di Mahkamah Tinggi dan salinan telah diberikan kepada pasukan pembelaan.

Mahkamah Rayuan dijangka mendengar rayuan itu selepas tarikh ditetapkan pada pengurusan kes kelak.

Pada 7 September lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.

Bung Moktar dan Zizie Izette merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Disember tahun lalu yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Untuk makluman, pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

BBerkaitan

Latest articles