JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah masyarakat memainkan peranan besar dalam melindungi kanak-kanak.
Justeru itu, baginda merayu kepada rakyat Malaysia supaya lebih peka dan mengambil berat terhadap keselamatan kanak-kanak.
Baginda turut mengingatkan semua agar tidak bersikap lepas tangan sehingga berlakunya kes penderaan ke atas kanak-kanak.
“Sebagai seorang ibu dan juga nenek, saya bukan sahaja menyeru, bahkan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia, supaya lebih peka dan ambil berat akan keselamatan kanak-kanak. Setiap nyawa, tidak ternilai harganya.
“Ada pepatah menyebut satu kampung diperlukan untuk membesarkan seorang kanak-kanak. Kanak-kanak mengharapkan dan memerlukan kita ahli masyarakat untuk menjaga keselamatan mereka.
” Janganlah kita lepas tangan sehingga terjadi penderaan berlarutan dan kehilangan nyawa.
“Kita semua ada peranan yang amat penting dalam masyarakat iaitu melindungi kanak-kanak dari didera. Tanggungjawab kita adalah amat besar. Jangan lupa itu adalah amalan dari Allah Yang Maha Esa,” titah Baginda.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat bagi menerima persembahan makluman berhubung fakta kes seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia selepas disyaki didera di Senggarang, Batu Pahat.
Pertemuan berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini, semalam turut dihadiri oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Dato’ Amir Nasruddin dan Presiden Johor Women’s League (JEWEL), Thanam Visvanathan-Suresh bagi menyampaikan pandangan dari sudut perundangan serta NGO.
Permaisuri Johor turut menzahirkan rasa sedih apabila menerima perkhabaran kes kematian kanak-kanak berkenaan.
“Sungguh memilukan hati saya mendengar penerangan daripada Datuk Ketua Polis, sehingga beliau sendiri menitiskan air mata.
“Ia mengingatkan saya kepada kes mendiang ‘Baby Bala’ pada 1990 yang turut membawa kepada penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001,” titah baginda.
Baginda berharap kematian kanak-kanak itu tidak sia-sia dan menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih peka dalam melindungi golongan berkenaan.