Perlu Tapis Latar Belakang Artis Luar

KUALA LUMPUR: Semua pihak mengambil iktibar terhadap isu membabitkan artis luar negara dalam satu penganjuran festival hiburan baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan penganjur program supaya melakukan penapisan lebih teliti dan mengkaji latar belakang setiap artis luar sebelum dibenarkan membuat persembahan di negara ini.

Beliau juga menegaskan budaya dan nilai agama negara ini tidak boleh ‘dijual beli’ semata-mata hendak membawa masuk artis luar, walaupun kerajaan bersikap mesra menerima mereka.

“Dari sudut tanggungjawab penganjur, ambil pengajaran daripada peristiwa ini sebab sesuatu yang dikatakan baik dan bebas di negara luar tidak semestinya baik dan bebas di negara kita.

“Jadi, tanggungjawab penganjur harus menilai sesuatu latar belakang sesebuah persembahan supaya bersesuaian dengan amalan budaya dan sensitiviti setempat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bicara ilmu pada Program Malaysia Madani-Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di Kuala Ketil.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsertnya di Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, kelmarin.

Saifuddin berkata, walaupun hiburan sesuatu yang biasa di negara ini, perlakuan ditunjukkan kumpulan terbabit tidak boleh diterima.

Mengulas mengenai kata-kata vokalis kumpulan itu yang menyentuh mengenai undang-undang negara ini berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), Saifuddin berkata, penghibur dari luar negara mempunyai tanggungjawab belajar dan mengetahui mengenai undang-undang negara lain.

“Peringatan kita adalah biarlah episod ini menjadi pengajaran semua. Saya tonton klip video itu yang dikirim kepada saya bertalu-talu, tak ada satu ayat yang dia sempurnakan melainkan dengan maki hamun dan mencarut. Kemudian secara terang-terangan menogok arak di khalayak dan melakukan perbuatan biadap yang langsung bercanggah dengan nilai dan budaya tempatan.

“Saya fikir mereka boleh menyampaikan atau menyuarakan mereka punya kekecewaan terhadap beberapa peraturan yang dianggap menyekat kebebasan dan sebagainya, tapi biar mereka tahu negara ini ada kedaulatan undang-undangnya,” katanya yang turut menambah tidak ada mana-mana agama dalam negara ini dapat menerima perbuatan itu.

BBerkaitan

Latest articles