Perlu Kukuhkan Parti Dahulu, Pejuang Umum Keluar GTA

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) buat kali kedua pada hari ini membuat pengumuman menarik diri daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sambil berkata langkah itu diambil untuk mengukuhkan parti, selain menilai semula apakah nilai tambah yang dapat ia berikan kepada mana-mana parti dalam gabungan itu.

“Oleh itu, perhimpunan agung ini juga adalah badan paling tinggi dalam parti membuat keputusan Pejuang untuk berundur secara terhormat daripada GTA.

“Selain itu, kita turut mengadakan perbincangan panjang lebar mengenai gabungan mana yang kita jika sertai sekiranya ada menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku dalam tahun ini.

“Jadi dalam hal ini, banyak pandangan dikemukakan, daripada pembahas yang mewakili negeri-negeri, akhirnya mandat diberikan kepada Majlis Eksekutif Pusat (MEP) untuk meneruskan rundingan dengan mana-mana pihak dan diputuskan di peringkat MEP,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, hari ini.

Selain itu Mukhriz memberitahu bahawa parti tidak mempunyai sebarang keputusan, namun mandat diberikan kepada parti untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana pihak.

“Rundingan itu belum dibuat dan berbincang pun secara tidak rasmi, tetapi dalam masa terdekat ini kita akan bertemu pemimpin daripada gabungan sedia ada untuk kita terokai mengenai kemungkinan kerjasama yang boleh dipupuk sekiranya boleh, kalau tidak boleh tidak apalah.

“Kita bukanlah seperti hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Mandat yang diterima adalah meneruskan rundingan dan saya terpaksa mengakui, pandangan daripada negeri adalah berbeza-beza, mengikut keadaan di negeri itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, satu jawatankuasa akan ditubuhkan MEP untuk menilai semua pilihan yang ada.

Sementara itu, menyentuh mengenai enam PRN akan datang, Pejuang mengambil pendirian untuk bersederhana, iaitu meletakkan calon di negeri yang telah mempunyai sokongan terhadapnya, dan wajar untuk ditandingi.

Malah kali ini Pejuang mahu ‘mengukur baju di badan sendirí’ dan apa jua ketetapan itu mengikut kemampuan parti.

“Namun kita merasakan tetap bersedia untuk menawarkan calon berbanding di PRN, iaitu buat keputusan di negeri mana kita berbanding, berapa bilangan kerusi dan tidak semestinya semua negeri,” katanya.

“Ketetapan mengikut kemampuan ini bukannya bermaksud dana, tapi sentimen kepada parti, berapa ramai ahli, kesiapsiagaan serta kebolehmenangan yang boleh jadi ukuran, itu yang akan diberi perhatian.

“Ini kerana PRN tidak seperti PRU untuk kerusi Parlimen, yang pengundinya mahukan orang tempatan, senang untuk menarik sokongan.

“Ia susulan pada PRU15 lalu, kita hadapi masalah apabila orang tidak kenal calon, masa berkempen itu kita habiskan masa untuk perkenal calon, jadi di peringkat Dewan Undangan Negeri, tentunya calonnya orang yang sudah dikenali,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles