KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) telah mendapat ‘hadiah’ yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15, November lalu, iaitu Perlis, demikian menurut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Shahidan yang bertanding di bawah tiket PN dan kemudiannya dipecat dari UMNO berkata, beliau berterima kasih kepada gabungan itu yang menerimanya sebagai calon untuk bertanding.
“Saya menang baru-baru ini. Saya dipecat dengan teruknya daripada parti asal saya (UMNO), tetapi syukur alhamdulillah PN menerima saya.
“Saya ‘hadiah balik’ kepada mereka satu negeri,” katanya sewaktu sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Pertadbiran BN di Perlis ‘tamat’ pada PRU15 lalu selepas PN menyapu bersih semua tiga Parlimen, selain 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Shahidan terus mempertahankan Parlimen Arau pada PRU15, dengan majoriti 23,216 undi.
Beliau memperoleh 31,458 undi mengatasi dua calon lain iaitu bekas anak buahnya yang bertanding atas tiket BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang memperoleh 8,242 undi serta calon muda Pakatan Harapan (PH), Fatin Amelina Fazlie yang meperoleh 7,089 undi.