Kuala Lumpur — Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam (JKTPNCUA), Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali, menafikan tohmahan dan isu yang timbul berkaitan pemilihan Naib Canselor (NC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan menegaskan bahawa proses itu dijalankan mengikut prosedur yang ketat dan telus.
Katanya proses pemilihan NC UA adalah terperinci dan melibatkan beberapa peringkat. Proses bermula dengan pengeluaran iklan dan saringan awal oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) institusi berkenaan.
Ini diikuti dengan sesi libat urus Jawatankuasa (JK) di UMPSA dan UMK selama dua hari, di mana JK mendapatkan maklum balas daripada tujuh kumpulan pemegang taruh utama universiti, termasuk LPU, Senat, pensyarah muda, alumni, rakan industri, persatuan berkaitan, serta perwakilan pelajar katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambah Bekas Naib Canselor UKM itu, Proses seterusnya adalah JK menjalankan saringan kedua dengan mendapatkan input tambahan daripada proses ‘profiling’ kepimpinan Universiti Awam yang dikendalikan oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
Calon-calon yang disenarai pendek kemudiannya dipanggil untuk temuduga bersama Pengerusi LPU dan dua wakil Senat UMPSA dan UMK.
Jelas Noor Azlan lagi, bahawa kemungkinan besar masyarakat awam kurang memahami proses pemilihan ini kerana ia melibatkan beberapa peringkat sepanjang tahun. Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa lantikan NC tidak melalui proses saringan adalah tidak tepat
Tambah beliau lagi, JK ini ditubuhkan mengikut lunas undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam perenggan 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Menteri Pendidikan Tinggi kemudiannya memilih calon NC berdasarkan cadangan JK dan peruntukan undang-undang dalam Seksyen 9 (1) AUKU.
“Segala tohmahan dan tuduhan yang dilakukan adalah tidak berasas. Saya menyeru agar kenyataan yang mengandungi maklumat palsu ini ditarik balik bagi memastikan integriti dan kewibawaan institusi pendidikan tinggi negara terus terpelihara,” tambah beliau.
Dengan penjelasan ini, diharapkan masyarakat lebih memahami proses pemilihan NC yang dilaksanakan secara telus dan profesional demi kecemerlangan pendidikan tinggi negara katanya.