Perkukuh Kerjasama Asia untuk Pembinaan Semula Gaza

Kuala Lumpur — Usaha kerajaan Madani menjalinkan kerjasama dengan negara-negara Asia, terutama Jepun, bagi membangunkan semula Gaza dianggap sebagai langkah bijak.

Pengerusi Du’at Al-Falah, Ustaz Ahmad Faiz Fatih Al-Azhari, menyatakan bahawa kerjasama dengan negara-negara Asia Timur bukan sahaja strategik tetapi juga membantu membina naratif bahawa Israel adalah sebuah negara penjajah yang zalim.

Beliau memuji tindakan pantas kerajaan Madani yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan keselamatan umat Islam di Palestin.

“Melalui inisiatif ini, kerjasama dengan negara-negara Asia Timur adalah langkah tepat untuk membina naratif bahawa Israel adalah penjajah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Kami menyokong usaha kerajaan Madani dengan menggerakkan kempen, memperbanyakkan wacana serta program untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia agar bersama-sama membantu pembinaan semula Gaza,” katanya.

Ahmad Faiz turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam membantu rakyat Palestin yang tertindas.

“Semoga usaha ini mendapat ganjaran setinggi-tingginya daripada Allah SWT serta membawa kepada pembebasan Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya.

Pada 19 Januari 2025, gencatan senjata telah dipersetujui antara Gerakan Perjuangan Islam, HAMAS, dan rejim Zionis Israel selepas hampir 15 bulan konflik yang mengorbankan lebih 46,000 rakyat Palestin di Gaza.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kementerian Luar komited untuk bekerjasama dengan Jepun di bawah kerangka Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi menjawab keperluan mendesak rakyat Palestin.

Menurut kenyataan Wisma Putra, komitmen ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kepentingan mempercepat usaha pembinaan semula Gaza dan Palestin.

BBerkaitan

Latest articles