LONDON, 19 Januari 2025 – Syarikat Malaysia terus memacu ekonomi di peringkat global dengan pelaburan strategik yang membuka peluang kepada perniagaan tempatan, khususnya syarikat Bumiputera, untuk menembusi pasaran antarabangsa. Langkah ini sejajar dengan visi Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi mengangkat syarikat Malaysia sebagai peneraju serantau dan global.
Pelaburan Strategik Memacu Pembangunan Global
Pelaburan oleh syarikat Malaysia di United Kingdom (UK) seperti YTL, Gamuda serta pelbagai syarikat seperti TNB telah memberi kesan positif, khususnya dalam pembangunan lestari dan infrastruktur utama.
Projek-projek seperti pembangunan di kawasan Bristol Utara mencerminkan keupayaan syarikat Malaysia untuk membawa transformasi besar yang memanfaatkan masyarakat setempat.
Pujian daripada kepimpinan utama UK menekankan bagaimana pelaburan ini mewujudkan pekerjaan baharu, meningkatkan infrastruktur, dan membawa impak ekonomi yang menyeluruh.
Manfaat Kepakaran Malaysia kepada Negara
Melalui penglibatan jangka panjang dalam sektor kritikal seperti pengurusan air dan perbandaran, syarikat Malaysia juga menjadi sumber rujukan bagi kerajaan tempatan untuk mengaplikasikan teknologi dan pendekatan lestari.
Lawatan teknikal oleh delegasi Malaysia ke kemudahan rawatan air di UK tempoh hari juga oleh Kementerian PETRA menunjukkan potensi untuk menanda aras amalan terbaik global demi manfaat tempatan.
Platform Ekonomi Baru Melalui CPTPP
Dengan penyertaan UK ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik Komprehensif dan Progresif (CPTPP), peluang perdagangan dua hala kini lebih terbuka luas.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan salah satu daripada hanya tiga negara ASEAN yang terlibat dalam CPTPP, berada di kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada integrasi ekonomi ini.
Hubungan perdagangan Malaysia-UK kini bernilai hampir RM34 bilion (bersamaan £6 bilion) dan dijangka terus berkembang dengan adanya perjanjian perdagangan bebas ini.
Pelabur Malaysia juga memperoleh jaminan yang lebih besar apabila melabur di UK, menjadikan peluang ini sebagai pintu kepada syarikat Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran antarabangsa.
Mendorong Kelestarian dan Peluang Perniagaan Tempatan
Fokus kepada kelestarian telah menjadi teras utama pelaburan Malaysia di UK, selaras dengan Strategi Pelaburan Hijau Malaysia dan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR). Pendekatan ini menyediakan peluang kepada syarikat tempatan, terutamanya syarikat Bumiputera, untuk terlibat dalam pembangunan projek hijau melalui kontrak sub-kontrak dan pembekalan bahan.
Penutup
Pelaburan strategik syarikat Malaysia di UK bukan sahaja mencerminkan keupayaan untuk bersaing di peringkat global tetapi juga menyediakan platform kepada perniagaan tempatan untuk berkembang dan membawa pulangan kepada ekonomi negara. Langkah ini menyerlahkan potensi syarikat Malaysia sebagai rakan kongsi ekonomi yang boleh dipercayai, memanfaatkan platform antarabangsa seperti CPTPP demi pertumbuhan bersama.
—————————————————————————————————-
Meor Ahmad Nasriin merupakan seorang Pengamal Media