KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ditamatkan berkuat kuasa, 12 Disember 2022.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, penamatan ini selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.
Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.
”Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.
”Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Shafiq dilaporkan terbabit dengan kontroversi mengherdik seorang pegawai imigresen di tempat awam.
Susulan itu, satu jawatankuasa tertinggi kemudiannya ditubuhkan untuk menjalankan siasatan.