Perjuangan DAP Sabah Gagal, Dua ADUN, Seorang Senator Umum Keluar Parti

 

KOTA KINABALU: Selepas Warisan, DAP Sabah juga mula menunjukkan kegagalan perjuangan politik dan kebajikan rakyat apabila tiga pemimpin parti itu mengumumkan keluar parti.

Mereka adalah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin; ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dan bekas senator, Adrian Lasimbang.

“Kami memulakan kerjaya politik demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur lebih baik, malah paling penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.

“Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” demikian memetik kenyataan bersama ketiga-tiga bekas ahli DAP berkenaan.

Malah mereka turut mengkritik kepimpinan DAP Sabah yang diketuai Datuk Frankie Poon Ming Foon yang didakwa kurang menunjukkan kepercayaan dalam jawatankuasa negeri.

Begitu juga dengan isu dalaman parti yang menyebabkan kegagalan komunikasi dalam kalangan pemimpinnya.

“Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas), selepas pengumuman keluar parti berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah hanya kalah satu kerusi iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.

DAP Sabah menjadi parti pembangkang kedua yang kehilangan ADUN selepas Warisan berikutan tindakan mereka keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti.

BBerkaitan

Latest articles