Perjalanan Rentas Negeri Balik Kampung Semasa Cuti Aidilfitri Tidak Dibenarkan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Dalam perutusan khas Sempena Hari Pekerja hari ini, Muhyiddin turut memberitahu perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

“Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka,” katanya.

Selain itu, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan
semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Beliau turut memaklumkan, mulai Isnin ini, restoran boleh dibuka semula namun ia perlu mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia termasuk membersihkan peralatan dan restoran, memastikan penjarakan sosial antara pelanggan yang makan di restoran, sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran, pekerja mesti memakai face mask dan seboleh-bolehnya mengambil suhu badan pelanggan pada hari pertama restoran dibuka.

Selain itu, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran kerana jika ada kes positif salah seorang pelanggan, pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.

“Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan yang terkena jangkitan COVID 19. Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama.

“Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles