Perintah Larangan Bersuara Tidak Sepatutnya Dibuat, Kata Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berpendapat bahawa permohonan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang perbincangan isu berkaitan Titah Adendum tidak sepatutnya dibuat.

Memetik laporan Berita harian, Azalina berkata bahwa perkara ini bakal menjadi dokumen awam dan akan dibincangkan semula dalam sidang Parlimen yang akan datang pada bulan depan.

“Apa yang saya boleh katakan adalah pada pandangan peribadi saya, tidak sepatutnya dibuat gag order kerana pertama, ia akan menjadi dokumen awam. Kedua, Parlimen akan bersidang pada bulan depan dan semua ini pastinya akan dibangkitkan semula,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kewangan Politik Antarabangsa 2025, hari ini

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) mungkin mempunyai alasan undang-undang tertentu bagi membuat permohonan tersebut.

“Apabila (permohonan itu) dihantar kepada mahkamah, kita serah kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan kita hormati keputusan itu,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah larangan bersuara berhubung kes Titah Adendum yang sedang disebut di Mahkamah Tinggi.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan tersebut pada 20 Januari ini. Menurutnya, langkah itu diambil bagi melindungi Institusi Diraja kerana kes ini menyentuh isu sensitif berkaitan raja, agama, dan kaum (3R).

Keputusan mahkamah mengenai permohonan ini akan menjadi penentu sama ada isu Titah Adendum boleh terus dibincangkan secara terbuka atau sebaliknya. Perkembangan lanjut mengenai perkara ini dijangka akan mendapat perhatian ramai, terutamanya menjelang sidang Parlimen akan datang.

BBerkaitan

Latest articles