Perikatan Nasional Tubuh Majlis Presiden

Parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) bersetuju menubuhkan majlis tertinggi dinamakan Majlis Presiden PN bagi menentukan hala tuju politik gabungan itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata penubuhan majlis itu disasarkan dapat menyelaraskan keputusan yang akan dibuat PN selain memperkukuh kerjasama yang terjalin sejak penubuhan gabungan itu Mac lalu.

“Alhamdulillah, saya nak maklumkan sedikit bahawa kita sudah ada majlis tertinggi iaitu Majlis Presiden PN. Kita setuju, yang pertama wujudkan Majlis Presiden, yang mana membabitkan semua presiden parti.

“Pimpinan tertinggi PN juga memutuskan untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama khususnya dalam mendepani situasi penularan wabak COVID-19. Kita juga harap rakyat tidak sekali lagi diheret dalam kemelut politik seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat beliau selaku Menteri Alam Sekitar dan Air kepada Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Noor di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

 

BBerkaitan

Latest articles