Kuala Lumpur, 1 November – Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga memegang peranan sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, mengarahkan audit dalaman ke atas syarikat pelaburan negara tersebut bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta yang berlaku baru-baru ini. Arahan ini merupakan tindakan tegas susulan permasalahan yang timbul berkaitan pengurusan dana pelaburan Khazanah.
Dalam kenyataan beliau, Perdana Menteri menjelaskan bahawa arahan ini adalah untuk merealisasikan pengumuman sebelum ini, di mana beliau telah meminta Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Langkah ini diambil sebagai usaha memperkukuh sistem tadbir urus dan mengukuhkan integriti kewangan dalam syarikat-syarikat yang berada di bawah pengurusan kerajaan.
“Arahan tegas ini adalah sebagai makna kepada pengumuman saya yang meminta JAN melakukan pengauditan bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik. Ia adalah langkah penting bagi memastikan semua GLC memenuhi tanggungjawab dan fungsi masing-masing secara telus,” kata beliau.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperbaiki tadbir urus GLC dan mengurangkan risiko kerugian pelaburan. Dengan adanya audit menyeluruh, kerajaan berharap untuk mengenalpasti punca kerugian serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa akan datang.
Pengauditan terhadap GLC turut dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan kepentingan rakyat dilindungi, selain memupuk kepercayaan awam terhadap pengurusan dana pelaburan kerajaan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Difahamkan siasatan itu dijalankan disebabkan sebab jumlah kerugian yang direkodkan kedua-dua agensi berkaitan kerajaan berkenaan terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.
difahamkan antara fokus siasatan ketika ini adalah berkaitan pengurusan kewangan dalam pelaburan itu serta unsur-unsur rasuah dalam perniagaan itu.