KUALA LUMPUR: Prosiding mahkamah membabitkan warga Israel, Avitan Shalom terpaksa ditangguhkan pada hari ini selepas lelaki itu memohon khidmat jurubahasa Ibani (hebrew) pada saat-saat akhir bicara.
Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Norina Zainal Abidin mempersoalkan mengapa Avitan Shalom baru membuat permohonan tersebut sedangkan tertuduh mempunyai lebih sembilan bulan untuk berbuat demikian.
Beliau turut mempersoalkan jika tertuduh boleh faham bahasa Inggeris mengapa perbcaraan tidak boleh diteruskan sehingga khidmat jurubahasa tersebut diperoleh.
“Kes ini sudah dijadualkan selama tiga minggu, tapi anda (tertuduh) memaklumkan kepada mahkamah semalam ketika bicara pertama pada saat-saat akhir, tidak ada permohonan sejak sembilan bulan sejak kes pendakwaan ini.
“Anda mempunyai peguam mewakili anda sejak sebutan kes tetapi permohonan untuk jurubahasa Hebrew ini tidak pula dibangkitkan. Ketika itu anda tidak pula kata tidak faham ketika kes itu dibacakan. Adakah anda faham apa yang saya cakap ini,” katanya ketika prosiding yang dikawal ketat polis pagi ini.
Aviton kemudiannya berkata beliau telah memohon kepada peguam terdahulunya bagi khidmat jurubahasa itu kerana dirinya tidak faham bahasa lain selain Hebrew.
“Selain Hebrew, adakah anda faham bahasa Arab? Perancis? Bahasa Perancis mudah juga anda tidak faham? Saya sedang berkomunikasi dengan anda dalam bahasa Inggeris mudah, anda boleh faham bukan?
“Daripada pengamatan, anda boleh berbahasa Inggeris dengan saya dalam mahkamah selain bercakap dengan peguam anda,” soal Norina lagi.
Bagaimanapun Avitan kemudiannya menggeleng kepala dan berkata hanya bahasa Hebrew sahaja boleh difahami olehnya.
Mahkamah ditangguhkan ketika ini.
Terdahulu prosiding mahkamah membabitkan Avitan pada semalam juga ditangguhkan berikutan ketiadaan jurubahasa untuk menterjemah keterangan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun pada prosiding hari ini, mahkamah masih belum berjaya mendapatkan khidmat jurubahasa berkenaan dan hakim mahu bicara diteruskan dalam bahasa Inggeris.
Semalam peguam mewakili Aviton, Datuk Naran Singh berkata, pihaknya membantah perbicaraan disambung tanpa jurubahasa hebrew.
Untuk rekod pada 27 Mac 2024, Aviton itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).