Perbicaraan Revenue Group: Saksi Tidak Tahu Tujuan Cek Ditandatangani

KUALA LUMPUR — Saksi ke-4 pendakwaan, Cheng Yuen Chen, 44, mengesahkan bahawa beliau tidak mengetahui tujuan cek yang ditandatanganinya bagi pihak syarikat ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes 12 pertuduhan pemalsuan dokumen dengan tujuan menipu syarikat bernilai RM12 juta antara tahun 2020 hingga 2023, melibatkan bekas Ahli Lembaga Pengarah Revenue Group, Ng Shih Chiow.

Merujuk kepada transaksi kewangan antara tahun 2020 hingga 2022, Yuen Chen, ketika membaca keterangan bertulisnya, turut mengakui bahawa beliau hanya diberikan buku cek kosong, iaitu cek yang tidak tertulis jumlah amaun, nama penerima dan tarikh.

Beliau juga mengakui bahawa menandatangani cek kosong itu dilakukan atas dasar kepercayaan terhadap abangnya, Cheng Choon Choon, yang merupakan seorang lagi saksi pendakwaan.

“Saya mengesahkan bahawa saya tidak tahu tujuan abang saya menyediakan cek ini kerana buku cek yang saya terima untuk ditandatangani adalah cek kosong, yang mana tiada nama penerima, jumlah amaun dan tarikh tertulis pada cek tersebut,” katanya.

“Saya menurut arahan daripada abang saya atas dasar percaya dan tidak menanyakan lebih lanjut mengenai arahan yang diberikan,” tambahnya ketika memberi keterangan.

Keterangan tersebut diberikan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Yuen Chen turut mengakui bahawa beliau telah menandatangani 10 hingga 20 cek kosong selaku penama syarikat.

Terdahulu, Yuen Chen ketika membacakan keterangan bertulisnya, turut mengesahkan bahawa beliau diminta oleh abangnya untuk menjadi penama bagi empat syarikat yang ditubuhkan, iaitu Golden Infor Services, Dailymax Venture Sdn Bhd, Omega Dynasty Sdn Bhd, dan Occucom Solutions Plt.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Anika Mohd Anas, manakala pihak pembelaan diwakili oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Amir Hamzah.

BBerkaitan

Latest articles