Perbicaraan Kes Revenue Group Ditangguhkan Selepas Mahkamah Terima Representasi Peguam

KUALA LUMPUR – Mahkamah Seksyen hari ini menangguhkan perbicaraan kes membabitkan dua bekas pengarah Revenue Group Berhad selepas menerima representasi daripada pihak peguam bela pagi tadi.

Representasi itu dikemukakan oleh pasukan peguam iaitu Tan Sri Dzulkifli Ahmad bersama Datuk Amer Hamzah Arshad, yang mewakili kedua-dua tertuduh – Ng Shih Chow dan Ng Shih Fang.

Kedua-dua mereka sebelum ini didakwa melupuskan harta milik Revenue Group Berhad tanpa kelulusan resolusi Lembaga Pengarah syarikat.

Hakim Tuan Rosli Ahmad menetapkan tempoh tiga minggu bagi membolehkan pihak pendakwaan meneliti dokumen berkaitan, serta memutuskan untuk melapangkan tarikh prosiding yang dijadualkan esok (8 Oktober).

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin Hoe.

Representasi tersebut dibuat susulan pengumuman Revenue Group Berhad dan anak syarikatnya, Revenue Harvest Sdn Bhd, bulan lalu yang menarik balik tuntutan terhadap Ng Shih Chow, Ng Shih Fang serta Safety & Bullet Film Sdn Bhd.

Keputusan itu telah direkodkan di Mahkamah Tinggi Dagang di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Puan Shoba Rajah dua minggu lalu.

Menurut kenyataan syarikat, tuntutan tersebut ditarik balik tanpa kebebasan untuk difailkan semula dan tanpa perintah kos.

Keputusan itu juga bermakna syarikat tidak akan meneruskan tindakan undang-undang berkaitan transaksi melibatkan Safety & Bullet Film Sdn Bhd dan sebuah Toyota Vellfire bernombor pendaftaran BPR 3108.

Dalam masa sama, Ng Shih Chow dan Ng Shih Fang turut menarik balik tuntutan balas terhadap Revenue Group Berhad dan Revenue Harvest Sdn Bhd, juga tanpa kebebasan untuk difailkan semula serta tanpa perintah kos.

BBerkaitan

Latest articles