KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membenarkan pindahan pendakwaan membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 yang lain atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ini kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Hakim Lailatul Zuraida Harron @Harun membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun yang mengemukakan izin pendakwaan agar kes kesemua 22 tertuduh dipindahkan ke Shah Alam untuk perbicaraan.
Terdahulu, peguam Datuk Rosli Kamaruddin membangkitkan isu bahawa Nasir dan isterinya Azura Md. Yusof ditempatkan di penjara secara berasingan iaitu masing-masing di Penjara Sungai Buloh dan Kajang.
Ujar beliau, suami isteri itu telah ditahan secara berasingan untuk tempoh sebulan.
Sehubungan itu, Rosli akan mengemukakan permohonan agar pengasingan penjara itu dilucutkan dan kedua-duanya ditempatkan dalam sel biasa masing-masing.
“Saya memohon mahkamah merekodkan bahawa kami akan mengemukakan permohonan agar pengasingan penjara dilucutkan.
“Kami akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mendapatkan surat sokongan daripada pihak polis untuk perintah pengasingan penjara dilucutkan ,” ujar beliau.
Pada prosiding itu, seorang lagi peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Najib Zakaria memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan perintah larangan bersuara di Mahkamah Tinggi.
Ujar beliau, permohonan itu bagi menghalang perbincangan umum berkaitan kes itu yang dikhuatiri boleh membuka ruang kepada subjudis.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, isterinya, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH, sejak 2020.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Nasiruddin, 65, Azura, 57, Mohammad Adib, 32, dan 19 tertuduh lain selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Tertuduh lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 53, Hasnan Abd Hamid, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Lapan tertuduh wanita lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32 dan Siti Salmiah Ismail, 57.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini, antara Oktober 2020 dan 11 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.