Perbetul Tanggapan, UMNO Tak Pernah Bergabung Dengan DAP Melainkan Kerjasama Melalui PH

KUALA LUMPUR: Kepercayaan sebahagian besar penyokong UMNO terhadap parti itu perlu diperbetulkan, dengan menjelaskan bahawa ia hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday juga menegaskan tidak timbul soal parti itu bergabung dengan DAP, seperti yang dianggap ramai pihak.

Beliau mengakui masih ada ahli UMNO yang kurang jelas dengan kerjasama parti itu dengan PH, yang boleh menyebabkan ramai ahli yang hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus merugikan UMNO.

Md. Jais menerangkan ahli UMNO perlu jelas dengan asas penubuhan Kerajaan Perpaduan yang membabitkan lima gabungan iaitu PH, BN, Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Di dalam gabungan itu, terdapat 19 parti termasuk parti komponen BN iaitu MIC dan MCA.

“Kkeputusan untuk bekerjasama dengan PH membentuk Kerajaan Perpaduan bukan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya ia keputusan parti.

“Keputusan penyatuan gabungan itu disebabkan untuk membentuk kerajaan setelah tidak ada parti yang memperoleh majoriti mudah, jadi tak boleh kata kita bergabung dengan DAP, itu tidak betul,” katanya ketika menjawab soalan pada program Penerangan Isu Semasa Anda Tanya, Saya Jawab di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, malam tadi.

Katanya lagi, tanggapan salah itu adalah naratif yang dibawa oleh musuh UMNO dengan niat untuk melagakan sesama ahli.

Oleh itu, semua harus memahami dengan jelas asas gabungan tersebut, ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles