Perbandingan Rasuah Dengan Makanan Tidak Wajar, Boleh Cetus Salah Faham Kaum – Dr Sathia

KUALA LUMPUR: Penggunaan analogi yang mengaitkan amalan rasuah dengan pilihan makanan seperti babi, belacan dan budu disifatkan sebagai tidak wajar kerana kedua-duanya berada dalam konteks serta kerangka yang berbeza.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, perbandingan sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah berpotensi mengelirukan masyarakat serta mencetuskan salah faham antara kaum dan agama.

Menurut beliau, kepelbagaian budaya dalam soal makanan tidak seharusnya menjadi asas penghinaan terhadap mana-mana pihak kerana ia bertentangan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat.

“Namun, hujah akan menjadi lebih kemas jika analogi yang digunakan adalah tepat dan setara.

“Mengaitkan rasuah dengan pilihan makanan, kemudian membandingkan bau babi dengan budu atau belacan sebenarnya mencampuradukkan perkara yang berbeza konteks dan sifatnya,” katanya.

Menurut beliau, pilihan makanan adalah berkaitan rapat dengan budaya, identiti dan kepercayaan yang wajar dihormati dalam masyarakat majmuk, manakala rasuah pula menyentuh isu integriti, undang-undang serta moral awam.

Mengulas lanjut, Dr Sathia menjelaskan bahawa makanan tradisional seperti belacan dan budu tidak boleh dilabel sebagai busuk hanya berdasarkan bau, apatah lagi dijadikan sandaran dalam menilai isu berkaitan rasuah.

“Tak boleh kata belacan busuk atau budu busuk, kemudian bandingkan dengan babi.

“Kandang babi memang mempunyai bau tertentu, itu fakta. Tetapi konteksnya berbeza dan perbandingan itu tidak adil.

“Pilihan makanan ialah soal budaya dan identiti manakala rasuah ialah soal integriti, undang-undang dan moral awam. Kedua-duanya tidak berada pada paksi yang sama untuk dibandingkan,” jelasnya.

Beliau turut mengkritik penggunaan analogi yang lemah dalam wacana awam menunjukkan kegagalan mengawal pemboleh ubah dan tidak membantu menyampaikan mesej sebenar.

“Analogi sebegini gagal mengawal pemboleh ubah, seolah-olah menilai suhu menggunakan jam. Alatnya ada, tetapi fungsinya salah,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Sathia menegaskan bahawa usaha memupuk keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia perlu disandarkan kepada hujah yang jelas serta perbandingan yang setara.

“Jika benar kita mahu memupuk keharmonian seperti yang dititahkan, perbincangan mesti dibuat secara berfakta, beradab dan tidak mengelirukan supaya mesej saling menghormati itu benar-benar sampai,” katanya.

Isu analogi perbandingan antara babi dengan budu dan belacan itu tercetus di Dewan Rakyat pada Rabu apabila seorang Ahli Parlimen Sarawak menggesa semua pihak menghormati pilihan makanan masing-masing dan menghentikan kecaman terhadap komuniti tertentu.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, komuniti Dayak tidak pernah menghina pilihan makanan mana-mana pihak, namun sering menjadi sasaran hanya kerana memakan daging babi.

Wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu kemudian membandingkan bau daging babi dengan budu dan belacan, yang menurut beliau lebih busuk berbanding babi, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

BBerkaitan

Latest articles