Perarakan Sekumpulan Pihak Beri Gambaran Tak Elok Tentang Islam

KUALA LUMPUR: Perarakan yang menggunakan simbol keagamaan Islam sebagaimana berlaku di Terengganu adalah tidak wajar, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Tindakan itu, menurut beliau telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

“Saya telah dimaklumkan mengenai penganjuran sebuah program perhimpunan pemuda yang turut melibatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam. Perarakan ini telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

“Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara.

“Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, kelmarin tular di media adalah beberapa gambar dan video memaparkan peserta himpunan Himpit berjubah putih berarak sambil memegang objek berbentuk tombak, pedang dan perisai ketika penganjuran program itu.

Selain itu ada juga kenderaan pacuan empat roda yang membawa objek berbentuk sebilah pedang besar di bahagian muatan belakang kenderaan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Husain berkata, pihaknya masih meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung tindakan peserta terbabit.

Menurut Dr. Mohd Na’im lagi, semua pihak bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.

Ujar beliau, apa-apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlu dielak sama sekali.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles