Peranti Bukan Pengasuh: Ancaman Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Talian Semakin Membimbangkan

KUALA LUMPUR,— Seorang pengguna media sosial, Iqbal Ikhwandy mengingatkan ibu bapa agar tidak menjadikan peranti pintar sebagai ‘pengasuh’ kepada anak-anak susulan ancaman keselamatan dalam talian yang semakin serius, termasuk risiko eksploitasi seksual.

Dalam satu hantaran yang dikongsikan di laman facebooknya, beliau menegaskan bahawa walaupun penggunaan telefon pintar sering dilihat sebagai jalan mudah untuk melayan anak, hakikatnya ancaman terhadap keselamatan kanak-kanak adalah nyata dan membimbangkan.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa tidak menyedari bahawa permainan dalam talian yang dimainkan kanak-kanak mempunyai ciri sembang (chat feature) yang membolehkan mereka berhubung dengan individu tidak dikenali, sebelum berpindah ke platform lain seperti WhatsApp dan Telegram.

“Ramai kata anak mereka hanya bermain permainan, tetapi dalam permainan itu ada ruang komunikasi. Dari situlah risiko bermula,” katanya.

Beliau turut mendedahkan kewujudan kumpulan Facebook melibatkan lebih 12,000 ahli yang berkongsi gambar murid sekolah rendah, yang dipercayai berkait dengan aktiviti pedofilia.

Pedofilia merujuk kepada kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak.

Iqbal turut merujuk kepada operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Op Pedo, yang menemukan kira-kira 880,000 bahan lucah melibatkan kanak-kanak serta membawa kepada penahanan ramai individu.

Selain itu, beliau memetik beberapa kes melibatkan pempengaruh media sosial yang ditahan kerana didakwa menunjukkan, mengajar dan meminta kanak-kanak melakukan perbuatan lucah.

Sehubungan itu, beliau menyokong pendirian Menteri Komunikasi yang berulang kali menegaskan bahawa “peranti bukan pengasuh”, serta langkah kerajaan melarang kanak-kanak bawah 16 tahun memiliki akaun media sosial.

Kerajaan juga memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) bagi memastikan platform seperti Meta, Google, X, WeChat dan Telegram mematuhi undang-undang serta bertanggungjawab terhadap kandungan di platform masing-masing.

Iqbal menyeru ibu bapa agar lebih proaktif mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak, termasuk mengaktifkan fungsi kawalan ibu bapa (parental control), menetapkan had masa penggunaan serta memastikan anak tidak memalsukan umur ketika mendaftar akaun permainan atau media sosial.

“Kita belum terlambat. Internet selamat adalah tanggungjawab semua,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles