Perang Palestin-Israel – Tak Semudah Dengan Ikut Cakap Orang Hantar Tentera

KUALA LUMPUR: Tindakan menghantar pasukan tentera Malaysia ke Palestin bukan satu kerja mudah, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, sebarang tindakan untuk menghantar tentera Malaysia ke Palestin termasuk bagi menjalankan misi pendamai atau keamanan atau koridor kemanusiaan perlu disepakati negara jiran terlebih dahulu.

Pada sesi penerangan berhubung perkembangan terkini krisis Palestin-Israel di Dewan Rakyat, Anwar berkata jika perkara itu tidak dilaksanakan, ia akan menyebabkan pesawat negara tidak boleh mendarat bagi misi kemanusiaan.

“Ada yang di Malaysia menyatakan kita enggan hantar pasukan tentera. Pimpinan tentera minta saya sampaikan adalah tidak adil untuk mana-mana kalangan dalam penyampaian mesej mereka, dalam tazkirah mereka untuk menyinggung hal ini.

“Ini bukan keputusan kita boleh hantar dengan mudah. Jadi saya minta harus ada kefahaman, jangan kelirukan rakyat,” katanya.

Justeru, perdana menteri meminta semua rakyat dan komuniti ummah bersama mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, akan berlepas ke Jeddah malam ini atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Perdana Menteri, Mohammed bin Salman serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mesyuarat tergempar OIC.

Sementara itu Anwar pula akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Khamis ini serta mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas Palestin.

“Putera Mohammed menelefon saya beberapa hari lalu, meminta saya sambung sehari lagi pada 21 Okt supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.

“Saya akan berbincang dengan beberapa teman lain…UAE (Emiriah Arab Bersatu), Qatar, Mesir dan Turki sama ada perlu diadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin negara lain.”

Katanya, beliau memberi mandat penuh kepada Zambry untuk berbincang dan mengambil apa jua keputusan bagi menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin kerana Israel menyekat sumber asas atau bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Selain itu, Anwar memberi jaminan untuk terus bersama mana-mana negara yang menunjukkan solidariti dan simpati kepada Palestin.

“Pendirian kita jelas, politik di Palestin ialah ‘politics of dispossession’. Tanah, harta benda mereka dirampas dan kita mesti kembalikan hak mereka ke atas tanah air mereka.

“Saya juga ingin menyatakan sudah sampai ketikanya kerajaan Malaysia dengan hubungan yang diberikan, akan bersama rakan-rakan untuk melakukan apa saja yang perlu.”

Beliau turut memaklumkan Malaysia secara dasarnya mempunyai hubungan dengan Hamas selepas mereka memenangi pilihan raya bebas dan tidak bersetuju dengan keputusan Eropah terus menekan Hamas.

Ketika ini, katanya, kerajaan sudah menyumbang RM10 juta bantuan awal kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Palestin.

“Insya Allah Khamis ini, sebelum saya berangkat ke Arab Saudi, RM100 juta (tambahan daripada beberapa GLC) akan disalurkan khusus ke Gaza untuk tabung perikemanusiaan dan perubatan.”

BBerkaitan

Latest articles