‘Perang Mulut’ Umno-DAP Tak Gugat Kerajaan Madani, Kata Loke

KUALA LUMPUR: Di sebalik polemik dan ‘perang mulut’ antara DAP dan beberapa pemimpin Umno kebelakangan ini, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menegaskan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal stabil serta tidak terjejas oleh perbezaan pandangan politik.

Menurut Loke, perbezaan pendapat dalam kalangan parti komponen tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tanda keretakan dalam kerajaan.

“Walau apa pun perbezaan yang wujud, Kerajaan Madani tetap kukuh dan stabil demi memastikan pentadbiran yang mampu memajukan negara serta mensejahterakan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Hantaran itu turut memaparkan gambar beliau bersama beberapa tokoh utama kerajaan ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pagi tadi, antaranya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Semalam, Loke dilaporkan berkata DAP tidak gentar dengan seruan terbaharu pihak lawan yang mahu menyerang parti itu, sebaliknya memilih untuk terus memberi tumpuan kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan DAP tidak akan mengelak daripada sebarang pertembungan politik jika dicabar.

Ketegangan politik itu semakin memuncak selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh pada Khamis lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Melaka bagi memberi tumpuan untuk ‘melawan DAP habis-habisan’.

Retorik anti-DAP serta seruan menyatukan semula parti-parti Melayu di bawah payung Umno pula menjadi antara topik hangat yang mendominasi Perhimpunan Agung Umno 2025, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai hala tuju hubungan politik dalam kerajaan perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles