Perang Asia Barat – Malaysia Mahu Perang Ditamatkan Sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik isyarat kesediaan Iran untuk kembali ke meja rundingan, namun menegaskan bahawa sebarang usaha damai mesti disertai penamatan konflik secara menyeluruh dan berkekalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman lampau jelas menunjukkan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mencetuskan semula keganasan berulang, seperti yang pernah berlaku di Gaza dan Lebanon.

Menurut beliau, pendekatan damai tidak boleh bersifat sementara, sebaliknya perlu berpaksikan keadilan, akauntabiliti serta komitmen jangka panjang daripada semua pihak terlibat.

“Keamanan sebenar hanya dapat dicapai melalui penyelesaian menyeluruh yang menjamin keselamatan semua pihak, di samping mengembalikan maruah kemanusiaan di Asia Barat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik yang semakin memuncak di rantau tersebut.

Dalam masa sama, Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Iran atas kehilangan besar yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara itu, termasuk tokoh politik, ketenteraan serta orang awam yang tidak berdosa.

Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras serangan Israel yang didakwa mendapat sokongan Amerika Syarikat terhadap Iran, khususnya tindakan yang menyasarkan orang awam.

Katanya, serangan sedemikian jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan serta nilai keadilan sejagat.

Selain itu, Malaysia juga menyuarakan kebimbangan terhadap negara-negara Teluk yang turut menerima tempias daripada konflik berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Pezeshkian dilaporkan menghargai sokongan Malaysia terhadap Iran, sekali gus mengukuhkan hubungan solidariti antara kedua-dua negara.

Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan dalam menyokong usaha damai, sambil menyeru agar konflik di Asia Barat dapat diselesaikan segera demi kestabilan serantau.

BBerkaitan

Latest articles