Penyokong Bossku Eksploitasi PRN Sokong PN Demi Kepentingan Sendiri – Anak Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Naziffudin Najib mengkritik penyokong bapanya yang memilih menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Memetik Malaysiakini, anak bekas perdana menteri itu mendakwa Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia menyokong Datuk Seri Najib Razak mengeksploitasi PRN demi kepentingan sendiri.

Ketua UMNO Langkawi itu menegaskan pilihan raya di enam negeri dan usaha menegakkan keadilan untuk Najib adalah dua isu yang berbeza.

“Sekarang ini, disebabkan jadual dan acara-acara berkaitan pilihan raya negeri, saya rasa orang mengambil kesempatan daripadanya untuk keuntungan mereka sendiri,” katanya.

Nazifuddin turut menegaskan keluarga mereka akan membantu calon kerajaan perpaduan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan pada PRN ini.

Tegasnya lagi, mereka yang berada di luar keluarganya tidak benar-benar mewakili apa yang ada dalam fikiran Najib yang kini sedang berdepan hukuman penjara 12 tahun.

“Tetapi sebagai sebuah keluarga, kami membantu calon kerajaan sedia ada dan kami mahu melihat kerajaan (persekutuan) yang stabil untuk meneruskan pentadbiran negeri baru yang akan ditubuhkan di bawah kerajaan campuran.

“Kami adalah sebahagian daripada kerajaan ini, kebanyakan keluarga saya bersama Umno dan kami mahu melihat kerajaan ini terus mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bergerak ke hadapan untuk memulihkan ekonomi yang positif,” katanya.

Reaksi Nazifuddin itu merujuk kepada kenyataan Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz semalam mendakwa semua ahli dan penyokong Najib menzahirkan sokongan kepada PN pada PRN.

Menurutnya, langkah itu diambil setelah kecewa dan hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BBerkaitan

Latest articles