KUALA LUMPUR: Ratusan penyokong hadir ke Majlis Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 malam ini sebagai tanda kebersamaan dan doa berterusan agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diberikan keadilan serta kekuatan menghadapi ujian.
Majlis itu menjadi medan luahan harapan penyokong UMNO dan Barisan Nasional yang mahu Najib terus berada dalam lindungan Allah serta mendapat pembelaan yang saksama mengikut prinsip Islam dan undang-undang negara.
Empat penceramah jemputan, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, Yuktes Vijay, Zee How Tai dan Ustaz Mohd Shukri Samsudin menyampaikan tausiyah dan memimpin doa sambil mengimbas peranan besar Najib dalam landskap politik serta usaha beliau mengukuhkan UMNO dan BN.
Menurut Mohd Shafiq, pengalaman dan pengaruh Najib masih diperlukan, terutama bagi menyatukan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat menjelang cabaran pilihan raya negeri akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa Najib berhak melalui semua proses perundangan secara adil dan telus, tanpa prejudis serta berlandaskan Perlembagaan.
Pada 26 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib atas 25 pertuduhan melibatkan 1MDB dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion.
Namun, pada 22 Disember, mahkamah menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dan mengarahkan beliau kekal di Penjara Kajang hingga tamat tempoh hukuman.










